Wednesday, 1 May 2013

Ukhuwah Cap Ayam


Sekarang ni macam-macam stail kita tengok orang panggil usrah ni, ada yang panggil bulatan gembira la, circle of life la, segi tiga riang la dan macam-macam lagi. Kalau buat list tu memang boleh pilih dah macam biskut raya dah banyaknya.

Tapi yang penting bukanlah pada nama atau brandnya, tapi hadaf yang ingin dibawa iaitu ingin melahirkan kembali individu-individu muslim sehebat Abu Bakr ra, sekuat Umar Al-Khattab, dan para sahabat yang lain, yang mampu menggegarkan kembali dunia ini untuk mengembalikan Islam menjadi Ustaziatul Alam. Dan bulatan-bulatan riang ini terbina bukan kerana ada pertandingan bulatan mana paling besar, atau sebab Ustaz mahupun Ustazah paksa di dalam kelas PAFA petang-petang di surau sekolah, atau sebab nak kumpul sijil-sijil penyertaan untuk disumbat di dalam CV anda, tapi di atas satu niat yang suci, di atas satu ikatan yang murni, iaitu ukhuwah fillah.

Ukhuwah fillah, dengar je memang boleh cair dan lejun la pipi ni dengan air mata yang masin bercucuran sebab sweetnya dan berbunga-bunga sekali ikatan yang terbina semata-mata kerana Allah swt. Yela biasanya apabila kita bersahabat dengan seseorang, kerana ada persamaan ke atau ada kepentingan tertentu bukan. Tapi apabila ikatan ukhuwah yang tercetus kerana ingin mengejar cinta dan redhaNya, tak dapat kot nak luahkan dengan kata-kata ataupun lagu apa sekali pun.

Aah!!! Indahnya....

Tapi tunggu kejap ye sebelum senyuman anda itu sampai ke telinga sampai nampak gigi-gigi anda yang kekuningan itu. Oops!

Anda pasti ke ikatan ukhuwah yang sweet menyuweet tu ukhuwah fillah? Ke atau hanya ukhuwah cap ayam je?

“Apa ke benda ukhuwah cap ayam ni? Sama macam sardin cap ayam ke?"

Kalau ukhuwah cap ayam tu macam sardin cap ayam (baca dalam Bahasa Inggeris ye!), sedap dan mantap kot rasa dia. Eh, terliur pulak. Tapi yang ni lain pulak ceritanya, bukan sedap pun tapi pahit, masam, masin kadang-kadang boleh sampai loya lagi meloyakan. So, before saya, as usual membebel panjang berjela-jela kalah panjang beratur orang nak mengundi nanti, saya minta anda semua ikat tali pinggang, ambil segala kusyen yang boleh untuk anda tutup muka, dan baldi yang besar untuk tadah air mata anda yang akan mengalir tanpa henti macam air terjun Niagara dekat Amerika tu.

Mungkin sesiapa yang terjebak dalam gejala bulatan riang gembira yang mantap ni, akan biasa mendengar kata-kata macam ni,

“Ana Uhibbuka Fillah". Kalau version panjang pulak “Ana Uhibbuka Fillah Jiddan"

“Semoga kita ketemu di syurga ya akhi/ukhti"

Dan macam-macam lagi.....

Kemudian sambil berukhuwah fillah berbunga-bunga tu pernah tak anda mengalami gejala-gejala macam ni

1. Bila anda berpisah, rasa-rasa rindu yang melampau sampai time solat pun teringat je akhi/ukhti tu

2. Bila jumpa, sepanjang masa asyik nak berkepit je kalah belangkas sampai makan nak sekali, solat nak sekali, liqa' nak duduk sebelah je, tidur pun tak boleh kalau bukan dengan si akhi/ukhti ni.

3. Bila akhi/ukhti tu berborak dengan akhi/ukhti lain, tiba-tiba rasa panas je hati, tak boleh nak duduk diam, tak pasal-pasal pintu bilik dihempas, jeling mata sampai nak berpusing 360° anak mata hitam tu.

4. Time akhi/ukhti itu mempunyai masalah, anda selalu bertanya khabar, mengambil berat mengenainya. Tapi jarang sekali untuk akhi/ukhti itu bertanya khabar tika anda rasa down, atau dihimpap masalah sebesar gunung Kinabalu. Yang paling best bila akhi/ukhti itu buat tak tahu saje

5. Akhi/ukhti itu selalu berjanji itu dan ini, tapi akhirnya hanya tinggal kata-kata tanpa sebarang penjelasan yang jelas membuatkan anda tertanya-tanya dan terpinga-pinga seperti mak hilang anak di pasar malam.

6. Akhi/ukhti itu hanya akan mencari anda tika dia memerlukan seseorang untuk berkongsi masalah tapi bila happy saja, kewujudan anda hanya seperti balai polis untuk melaporkan kecurian ikan oleh kucing Mak Minah sebelah rumah. Oops!

Nak tulis je gejala-gejala atas ni naik loya perut dan migrain jugak la. Mana taknya, tiga yang pertama baca je dah lain macam bunyi nya, yang tiga seterusnya bunyi macam telenovela Venezuela pukul 4:30 petang tiap Isnin hingga Jumaat. Eh macam mana pulak boleh saya tahu kan? Hihi.

Secara jujurnya, asbab saya menulis ni adalah selepas saya diberikan dua artikel oleh seorang akhi iaitu daripada Akhi Inche Gabbana bertajuk Ikhwah Songsang dan Ukhti Muharikah bertajuk Our life is not like story movie. Sebenarnya inilah realiti yang sering berlaku di kalangan para da’ie tidak kira ikhwah mahupun akhwat, tanpa kita sedari langsung sebab tulah saya rasa perlu untuk saya tulis artikel ni supaya anda di luar sana tak mengalami perkara yang sama kerana saya tak mahu ukhuwah fillah yang indah dan suci ini disalahterjemahkan menjadi ukhuwah fi nafs semata-mata.

Bila bercakap tentang ukhuwah fillah saya yakin perkara pertama yang keluar dari kepala anda ialah, bersalam-salaman, berlanggar pipi kiri pipi kanan macam bas langgar tembok jalan (Eh, ada ke?), kalau yang ikhwah tu sakit jugak bila janggut-janggut yang tajamnya bak durian raja musang mencucuk pipi. Dan yang akhwat pulak, maaf la saya tak tahu sebab saya bukannya akhwat pun. Eh? Pastu akan berpelukan beramah mesra bagai. Kalau yang lama tak jumpe sampai basah bahu dibuatnya tempat lap air mata dan hingusan yang mencomotkan wajah anda. Haha.

Ok, cukup merepek di situ, back to the story again, macam mana ukhuwah yang dikatakan dijalin, dianyam dan diikat atas dasar cinta kepada Allah itu boleh bercampur aduk dengan bahan-bahan asing macam Rojak Haji Ahmad kat depan Pasar Raya Gergasi tu?

Nak cerita panjang rasa nanti boleh tulis novel pulak, tapi ada satu quote yang menarik yang ditulis oleh Akhi Inche Gabbana:

“Namun rupa-rupanya kita diuji dengan ujian sesama ikhwah pula. Bibit-bibit kasih-sayang mula timbul dek selalunya kita bergaul mesra sesama ikhwah. Perasaan chenta mula meresap masuk kerana selalunya kita berborak bantal dan mencurah rasa kepada ikhwah yang sudi meminjamkan bahunya. Dan kita mula semakin rapat dengan ikhwah tersayang kerana terlalu terhutang-budi dengan pengorbanan tahap Mahadewa Kaiou yang mereka lakukan terhadap kita, tanpa mengharap sebarang belas mahupon balas.

Tiada salahnya semua ini. Yang salah dan silapnya adalah apabila semua ini disandarkan kepada nafsu raksasa gorgon dan bukannya dalam usaha berlari-lari anak mencari redhaNya.”


Nampak dah kenapa?

Tak nampak lagi?

Masih samar-samar?


Haish..... Susah ni.

Camni lah nak senang ceritanya, bayangkan dalam satu situasi anda mungkin cakap


“Ya akhi/ukhti, sesungguhnya aku sangat menyayangi dan mencintaimu kerana Allah. Semoga kita berjalan bersama-sama berpegang tangan erat masuk ke syurga Allah kelak”

Tapi sebenarnya kat ceruk-ceruk hati anda tu, mungkin ini yang anda rasakan sebenarnya:

“Ya akhi/ukhti, sesungguhnya aku tak boleh hidup tanpamu. Mandi tak kenyang, tidur tak basah, mandi tak lena jika tidak dapat bersua muka, mendengar suara anta/anti”

Eh, boleh ke macam tu?

Inilah yang berlaku apabila Iblis dan Syaitan meletakkan jarum-jarum halusnya di dalam perhubungan yang pada mulanya terjalin di atas mengejar cinta dan redha Allah namun akhirnya dicemari oleh bibit-bibit an-nafs yang haram sehingga akhirnya para da’ie ini baring terdampar terkena panahan-panahan racun jahiliyyah. Konklusinya, timbullah gejala-gejala yang aneh lagi pelik macam 3 yang pertama kat atas tu.

Tapi yang 3 selebihnya tu pulak macam mana? Yang ini, saya boleh katakan ini bukanlah ukhuwah fillah tapi hanyalah ukhuwah pelastiklah.

Ikatan ukhuwah yang sebenar akan mewujudkan sikap saling mengambil berat antara sesama ikhwah/akhwat, tidak kira susah atau senang, kerana kehadiran ikhwah/akhwat bukan hanya untuk bergelak ketawa di dalam bulatan riang di bawah cahaya purnama, bukan hanya untuk berlari-lari berpegang tangan di taman-taman tarbiyyah dikelilingi rama-rama putih berterbangan, tetapi ukhuwah yang tulen lagi sejati ialah bila kebuntuan sehingga bertemu jalan mati, mereka akan bersama-sama mencari jalan yang baru, bila dilanda kesedihan tahap kehilangan smartphone yang baru dibeli semalam, akan berkongsi bahu untuk menyerap air mata yang berjujuran bagaikan hujan. Tak lupa juga bila jatuh desakitan dek termakan tiga Shish Kebab Harput, akan berlumba-lumba untuk ziarah dan membelikan ubat.

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan saling berempati bagaikan satu tubuh. Jika salah satu anggotanya merasakan sakit maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga dan merasakan demam.”

Riwayat Muslim



Wahai anda di luar sana khususnya para da’ie, dalam mengekalkan keharmonian dan keikhlasan di dalam berukhuwah ini, perkara yang paling penting ialah keterbukaan, ketelusan, thabat dan tsiqah antara satu sama lain. Ingatlah ikhwah/akhwat bukanlah para malaikat mahupun bidadari syurga yang sempurna. Mereka juga manusia biasa yang sering melakukan kesilapan. Jika berlaku sebarang konflik atau persengkataan, duduklah berbincang dan jangan dibiarkan ikhwah/akhwat itu keseorangan membuat intepretasi sendiri. Kerana ketuika sat inilah askar-askar dan pegawai-pegwai tinggi ketenteraan syaitan dan iblis akan datang meracuni hati-hati para da’ie ini dengan racun-racun dzon yang akan meretakkan lalu meruntuhkan ukhuwah yang telah dibina kerana cintakan sahabatnya kerana Allah.

Tidak kira gejala 1,2 atau 3 mahupun gejala 4, 5, atau 6, solusi yang terbaik adalah kembalilah kepada Allah swt. Perbetulkan kembali niat kita untuk berukhuwah dan saling sayang-menyayangi antara satu sama lain. Jangan biarkan diri anda terus hanyut dibuai an-nafs dan jahiliyyah-jahiliyyah mutasi ini

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.

Ali-’Imran, 3:103


Nangis tanpa kata apa-apa


Ukhuwah itu manis
Ukhuwah itu cantik
Ukhuwah itu kasih

Jangan lilitinya dengan rantai-rantai jahiliyyah
Jangan kotorinya dengan lumpur-lumpur an-nafs


Tapi hiasinya dengan bunga-bunga tarbiyyah
Lindungilah ia dengan payung-payung iman dan taqwa.



Ingatlah Allah akan bersama dengan hamba-hambanya yang sentiasa berlari mengejar redhaNya.



- Jamed Musafirin @ Pengembara Tegar -




No comments:

Post a Comment